Arau, 22 Jun 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim meneruskan siri lawatan kerjanya dengan meninjau kelancaran proses pendaftaran pelajar baharu di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di Arau, Perlis.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi, sesi pendaftaran pada hari ini berlangsung lancar, menandakan permulaan fasa baharu bagi ratusan pelajar dari seluruh negara yang melanjutkan pengajian di institusi tersebut.
Bagi sesi pengambilan kali ini, PTSS menawarkan 15 program pengajian merangkumi peringkat Asasi, Sijil dan Diploma.
KPT memaklumkan bahawa aspek kebajikan dan keselesaan mahasiswa kekal menjadi keutamaan dalam usaha memperluas akses kepada pendidikan tinggi. Sejak mula beroperasi pada 2004, PTSS telah menyediakan kemudahan penginapan yang mampu menampung sehingga 3,600 pelajar.
-Advertisement-
Keutamaan penempatan asrama diberikan kepada pelajar baharu, mahasiswa daripada keluarga B40, golongan berkeperluan khas serta pelajar yang berasal dari Sabah dan Sarawak.
Menurut hantaran itu, KPT mengakui bahawa ekosistem pembelajaran yang kondusif bermula dengan kemudahan tempat tinggal yang selesa. Sehubungan itu, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah melaksanakan pelbagai inisiatif proaktif bagi menangani isu kepadatan dan kekurangan penginapan pelajar.
Antara langkah yang diambil termasuk meneroka kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan institusi pendidikan tinggi lain bagi mengoptimumkan penggunaan kuarters atau asrama yang tidak dihuni.
KPT berkata usaha berterusan itu mencerminkan komitmen JPPKK dalam memastikan kebajikan setiap pelajar sentiasa terpelihara, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kecemerlangan akademik sepanjang tempoh pengajian.
Lawatan itu turut disertai Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah, serta Pengarah PTSS, Ts. Khairul Anuar Ishak. – The Capital Post