Kota Kinabalu, 22 Jun 2026 (The Capital Post) – Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hassan Basri, memulakan lawatan kerja rasmi selama empat hari ke Kontinjen Sabah bagi meninjau tahap kesiapsiagaan pasukan serta memperkukuh koordinasi operasi di kawasan strategik keselamatan negara.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Polis Diraja Malaysia, lawatan yang berlangsung dari 21 hingga 24 Jun itu dimulakan dengan ketibaan Mohd Yusri bersama delegasinya di Pangkalan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah, yang disambut oleh komandernya, ACP Ras Nazrin Shah Abdullah.
Lawatan kerja rasmi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KDNKA untuk menilai tahap kesiapsiagaan anggota dan mempertingkat penyelarasan operasi di Sabah, khususnya di kawasan yang mempunyai kepentingan strategik kepada keselamatan negara.
Sepanjang lawatan itu, Mohd Yusri dijadual mengadakan siri tinjauan operasi di beberapa lokasi termasuk Sandakan, Semporna serta kawasan sempadan Malaysia-Filipina-Indonesia.
-Advertisement-
Hantaran Facebook itu memaklumkan bahawa lawatan berkenaan turut melibatkan sesi penyelarasan bersama elemen di bawah KDNKA bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dan keberkesanan operasi sentiasa berada pada tahap terbaik dalam mendepani cabaran keselamatan semasa.
Turut hadir ialah Ketua Jabatan KDNKA Kontinjen Sabah, SAC Datuk Abdul Fuad Abdul Malek; Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am, SAC Datuk Nor Omar Sappi; serta warga kerja PGU Pangkalan Sabah.- The Capital Post