KUALA LUMPUR 24 Jun 2026 (The Capital Post) – Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) ke-149 yang dipengerusikan hari ini di Bangunan Parlimen memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pemulihan serta daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi cabaran global semasa.
Mesyuarat tersebut membincangkan pelbagai inisiatif strategik Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi menangani impak ketidaktentuan ekonomi dunia, khususnya susulan konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada rantaian bekalan dan prestasi ekonomi global.
Perhatian turut diberikan kepada tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi fenomena El Niño yang dijangka memberi kesan terhadap bekalan air, sektor pertanian, keselamatan makanan serta peningkatan risiko cuaca panas melampau dan jerebu di beberapa kawasan.
Dalam sesi berkenaan, penekanan turut diberikan kepada keperluan pelaksanaan dasar dan inisiatif secara lebih bersepadu, cekap serta berpaksikan kepentingan rakyat, termasuk usaha memperkukuh daya saing ekonomi negara, menarik pelaburan berkualiti dan menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
-Advertisement-
YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat tersebut menegaskan kepentingan semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan memberi impak langsung kepada rakyat di semua peringkat.
Beliau turut menekankan bahawa kesepakatan yang terjalin melalui platform mesyuarat ini akan terus menjadi asas penting dalam memperkukuh kestabilan ekonomi serta mempertingkat ketahanan negara menghadapi cabaran masa depan. – The Capital Post