Malaysia Perkukuh Peranan di COSTI-89

Estimate Reading Time: 2 minutes

VIENTIANE 24 Jun 2026 (The Capital Post) – Malaysia terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang sains, teknologi dan inovasi apabila menyertai Mesyuarat Ke-89 Jawatankuasa ASEAN Mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (COSTI-89) yang berlangsung di Vientiane, Lao PDR.

Delegasi Malaysia diketuai oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), yang hadir dalam kapasiti sebagai Pengerusi COSTI Kebangsaan Malaysia. Turut mengiringi beliau ialah YBrs. Dr. Balamurugan a/l Nallamuthu, Setiausaha Bahagian Antarabangsa MOSTI.

Mesyuarat tersebut menghimpunkan wakil negara-negara anggota ASEAN bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang sains, teknologi dan inovasi yang menjadi pemacu penting kepada pertumbuhan ekonomi mampan dan pembangunan masa hadapan rantau ini.

Sebagai Naib Pengerusi COSTI bagi tahun 2026, Malaysia terlibat secara aktif dalam perbincangan dengan mengemukakan pandangan serta maklum balas terhadap pelbagai isu strategik yang dibincangkan sepanjang mesyuarat berlangsung.

Dalam sesi berkenaan, Malaysia turut membentangkan perkembangan terkini mengenai pelaksanaan Priority Economic Deliverable (PED) 2025 menerusi inisiatif ASEAN Technology Startup Ignite yang diterajui oleh negara melalui Cradle Fund Sdn. Bhd. semasa Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025. Program tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti syarikat pemula niaga teknologi melalui bimbingan mentor, khidmat nasihat perniagaan serta kerjasama rentas sempadan dalam kalangan negara ASEAN.

-Advertisement-

Malaysia juga mengetengahkan kejayaan Startup ASEAN Portal yang berfungsi sebagai platform digital bagi memperkukuh jaringan dan akses maklumat dalam ekosistem syarikat pemula niaga serantau.

Selain itu, mesyuarat turut mengambil maklum cadangan Malaysia untuk menubuhkan Startup ASEAN Digital Centre of Excellence (CoE), sebuah platform serantau yang bakal menghubungkan syarikat pemula niaga, pelabur, pembuat dasar serta pemain industri bagi menggalakkan inovasi dan kerjasama strategik di peringkat ASEAN. Pusat kecemerlangan digital tersebut dijangka dilancarkan pada November 2026.

Malaysia turut membentangkan perkembangan terkini kerjasama ASEAN-China dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, sejajar dengan peranannya sebagai negara penyelaras bagi kerjasama tersebut untuk tempoh 2024 hingga 2027.

Penyertaan aktif Malaysia dalam COSTI-89 membuktikan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh kerjasama serantau, memacu inovasi serta menyokong pertumbuhan mampan melalui pengembangan sains, teknologi dan inovasi di peringkat ASEAN. – The Capital Post