KUALA LUMPUR 25 Jun 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, telah merasmikan pembukaan KOMO Kopitiam di Istana Budaya dalam satu majlis yang menandakan usaha berterusan memperkasa fasiliti dan pengalaman pengunjung di institusi seni negara tersebut.
Pembukaan semula kafe berkonsep kopitiam ini merupakan sebahagian daripada inisiatif yang menampilkan gabungan budaya, warisan serta cita rasa tempatan, sekali gus menjadikan Istana Budaya bukan sahaja sebagai pusat persembahan seni tetapi juga ruang santai beridentiti Malaysia.
Projek naik taraf dan baik pulih kafe berkenaan dilaksanakan melalui peruntukan di bawah Program Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf MOTAC, yang bertujuan meningkatkan keselesaan pengunjung, penonton serta pelancong yang hadir ke Istana Budaya.
-Advertisement-
Inisiatif ini turut menyokong aspirasi Malaysia MADANI serta Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan memperkukuh ekosistem seni, budaya dan pelancongan negara melalui penyediaan kemudahan yang lebih mesra pengunjung.
Pembukaan KOMO Kopitiam diharapkan dapat menjadi ruang interaksi masyarakat yang lebih inklusif, di samping mengukuhkan peranan Istana Budaya sebagai destinasi budaya utama negara yang dinamik dan berdaya tarikan tinggi. – The Capital Post