PUTRAJAYA 25 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Perpaduan Negara merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman kenaikan Geran Tahunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daripada RM6,000 kepada RM10,000 yang akan berkuat kuasa mulai Januari 2027.
Pengumuman tersebut dibuat semasa Majlis Perasmian Program MADANI Kita Bersama KRT pada 24 Jun 2026, sekali gus disifatkan sebagai pengiktirafan besar terhadap peranan KRT sebagai institusi penting dalam memupuk perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat di peringkat akar umbi.
Kementerian Perpaduan Negara menyifatkan langkah ini sebagai manifestasi komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh gerakan komuniti yang menjadi asas kepada pembinaan masyarakat yang bersatu padu dan progresif di seluruh negara.
Ketika ini, sebanyak 8,659 Kawasan Rukun Tetangga telah ditubuhkan di seluruh negara dan terus memainkan peranan sebagai platform utama dalam memperkukuh semangat kejiranan serta kesejahteraan komuniti setempat. Gerakan ini turut disokong oleh kira-kira 215,000 anggota Jawatankuasa KRT yang melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan.
-Advertisement-
Sepanjang tahun lalu, lebih 100,000 aktiviti komuniti telah dilaksanakan melibatkan jutaan rakyat Malaysia, merangkumi pelbagai bidang seperti kebajikan, keselamatan kejiranan, pendidikan, kesukarelawanan serta pemerkasaan ekonomi setempat.
Kenaikan geran ini dijangka akan memperkukuh lagi keupayaan KRT dalam melaksanakan program berimpak tinggi yang memberi manfaat terus kepada rakyat, selain memperkasakan peranan komuniti sebagai penggerak perpaduan dan pembangunan sosial negara. – The Capital Post