KUALA LUMPUR 27 Jun 2026 (The Capital Post) – Generali Malaysia dengan kerjasama Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) melancarkan Gen Sinar, sebuah pelan insurans kemalangan diri mampu milik yang direka khusus untuk membantu keluarga berpendapatan rendah mendapatkan perlindungan kewangan serta memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak sekiranya berlaku musibah kepada penyara keluarga.
Pelancaran inisiatif tersebut berlangsung di Kompleks Komuniti Muhibbah dan disaksikan oleh pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil AmanahRaya, Kedutaan Itali di Malaysia, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin komuniti, media serta penduduk setempat.
Gen Sinar diperkenalkan hasil penelitian terhadap cabaran yang dihadapi oleh keluarga kurang berkemampuan yang sentiasa berusaha menyediakan peluang pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak mereka. Walaupun kebanyakan keluarga masih memberi keutamaan kepada keperluan harian, kebimbangan terhadap kestabilan kewangan jangka panjang dan risiko kehilangan sumber pendapatan kekal menjadi antara cabaran utama.
Menurut Generali Malaysia, jurang perlindungan kewangan dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah masih wujud, menyebabkan mereka lebih terdedah kepada kesan kewangan sekiranya berlaku kejadian tidak dijangka. Justeru, Gen Sinar dibangunkan bagi membantu mengurangkan risiko tersebut menerusi perlindungan yang lebih mudah diakses dan berpatutan.
Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia Berhad, Fabrice Benard berkata Gen Sinar bukan sekadar produk insurans, malah merupakan satu inisiatif perlindungan sosial yang dibangunkan berasaskan model bukan keuntungan dengan matlamat memperkukuh kesejahteraan komuniti.
Beliau berkata pendidikan memainkan peranan penting dalam membantu keluarga keluar daripada kitaran kemiskinan dan perlindungan yang disediakan menerusi Gen Sinar bertujuan memastikan anak-anak dapat meneruskan pembelajaran walaupun keluarga berdepan situasi sukar akibat kemalangan yang menimpa penyara utama.
Melalui pelan tersebut, peserta hanya perlu membayar RM91.28 bagi tahun pertama dan RM59.40 bagi tahun-tahun berikutnya, termasuk duti setem, kos berkaitan amanah serta cukai perkhidmatan. Sekiranya penyara keluarga meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal akibat kemalangan, waris akan menerima manfaat bayaran sekali gus sebanyak RM20,000.
-Advertisement-
Selain itu, setiap anak yang layak akan menerima elaun pendidikan bulanan sebanyak RM250 sehingga mencapai usia 18 tahun. Secara keseluruhan, jumlah manfaat yang boleh diterima di bawah pelan ini mencecah sehingga RM100,000.
Sebagai nilai tambah, Gen Sinar turut menyediakan kemudahan rundingan teleperubatan percuma yang merangkumi isu kesihatan fizikal dan mental. Kemudahan tersebut membolehkan peserta serta ahli keluarga mendapatkan khidmat nasihat daripada pengamal perubatan bertauliah menerusi panggilan telefon atau sesi video.
Peserta berhak menikmati sehingga dua sesi konsultasi setiap tahun dengan nilai manfaat sehingga RM60 bagi setiap sesi, sekali gus membantu meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih mudah dan berpatutan.
Kesemua manfaat pendidikan yang disediakan menerusi Gen Sinar akan diuruskan oleh AmanahRaya sebagai pemegang amanah bagi memastikan dana yang diperuntukkan dilindungi dan digunakan mengikut tujuan yang ditetapkan.
Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Perniagaan dan Operasi Kumpulan Amanah Raya Berhad, Jack Yap Ngee Heong berkata kerjasama tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi dalam memperluaskan akses kepada perlindungan kewangan dan sokongan pendidikan kepada golongan yang memerlukan.
Beliau berkata AmanahRaya bukan sahaja bertanggungjawab menjaga kepentingan benefisiari, malah memainkan peranan lebih besar dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat. Melalui Gen Sinar, dana pendidikan anak-anak akan diurus secara telus dan beramanah bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati untuk jangka panjang oleh keluarga yang memerlukan. – The Capital Post