Kecemerlangan Kolej Ungku Omar UPSI 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

TANJONG MALIM 27 Jun 2026 (The Capital Post) – Panggung Percubaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini menjadi lokasi penganjuran Anugerah Kolej-Kolej Kediaman UPSI 2026 yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada dedikasi serta sumbangan cemerlang mahasiswa, barisan staf dan felo. Bagi warga Kolej Ungku Omar (KUO), penganjuran kali ini membuktikan bahawa budaya kecemerlangan yang dipupuk sekian lama dalam kalangan warganya tetap subur walaupun menghadapi persaingan yang sengit daripada kolej kediaman lain.

Selepas berjaya mencipta sejarah besar dengan merangkul Anugerah Kolej Bitara UPSI selama dua tahun berturut-turut pada tahun 2024 dan 2025, sasaran utama KUO pada tahun ini adalah untuk mempertahankan pengiktirafan tertinggi tersebut. Walaupun rezeki tidak menyebelahi mereka untuk membawa pulang trofi utama berkenaan bagi edisi 2026, situasi tersebut sama sekali tidak mematahkan semangat perjuangan mereka. Hal ini terbukti apabila barisan mahasiswa, felo dan kakitangan KUO berjaya mendominasi pelbagai kategori anugerah individu yang dipertandingkan.

Antara pencapaian membanggakan yang diraih termasuklah kejayaan beberapa individu yang merangkul anugerah bertaraf Emas, Perak dan Gangsa dalam portfolio masing-masing seperti Ikon Daya Usaha Inovasi Siswa, Ikon Khidmat Komuniti Siswa, Anugerah Ikon Kelestarian Siswa, dan Anugerah Ikon Sukarelawan. Di samping itu, pengurusan tertinggi kolej melalui staf dan felo turut menerima penghargaan khas, sekali gus mencerminkan kepelbagaian bakat serta kekuatan ekosistem yang holistik dalam membentuk sahsiah warga kolej tersebut.

-Advertisement-

Pengetua KUO, Prof. Dr. Hj. Mohd Nizam Nasrifan menyatakan rasa bangga terhadap komitmen luar biasa yang dipamerkan oleh seluruh warganya dan menganggap kejayaan sebenar malam tersebut terpancar daripada kualiti modal insan yang berjaya dilahirkan. Nada yang sama turut dikongsikan oleh Yang Dipertua Majlis Mahasiswa KUO, Saudara Muhammad Ali Azizi Abdul Aziz, yang menyifatkan pencapaian ini sebagai pemakar semangat untuk mereka kembali dengan lebih kuat demi mempertahankan legasi kegemilangan kolej pada masa akan datang – The Capital Post