HOSAS 2026 Pacu Pendigitalan Hospitaliti

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 26 Jun 2026, (The Capital Post) – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terus memperkukuh usaha mempercepatkan transformasi digital dalam industri hospitaliti menerusi penganjuran Hospitality Automation Summit (HOSAS) 2026 yang berlangsung di Kingston Hotel, Bukit Jalil.

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, yang menegaskan bahawa pendigitalan kini menjadi elemen penting bagi memastikan sektor hospitaliti negara mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, penggunaan teknologi automasi dan penyelesaian digital bukan sahaja dapat mempertingkatkan kecekapan operasi, malah mampu menawarkan pengalaman yang lebih berkualiti kepada pelancong selaras dengan perkembangan industri pelancongan global.

-Advertisement-

Menurut beliau, HOSAS 2026 menjadi platform strategik yang menghimpunkan agensi kerajaan, pemain industri dan penyedia teknologi bagi berkongsi kepakaran serta memperkukuh kerjasama dalam membangunkan ekosistem hospitaliti yang lebih moden, inovatif dan mampan.

Inisiatif tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan MOTAC dalam memperkasakan pembangunan modal insan, memperluaskan penggunaan teknologi digital serta menyokong pertumbuhan industri hospitaliti yang mampu menyumbang kepada pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau ini. – The Capital Post