229 Graduan TVET KEMAS Raih Sijil

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 26 Jun 2026, (The Capital Post) – Seramai 229 graduan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) KEMAS diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kemahiran Kali Ke-15 KEMAS Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Seri Lestari, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Majlis penyampaian sijil tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB Datuk Rubiah Wang, sebagai pengiktirafan kepada para graduan yang berjaya menamatkan latihan dalam pelbagai bidang kemahiran yang memenuhi keperluan industri semasa.

Daripada jumlah keseluruhan graduan, seramai 119 orang merupakan lepasan Akademi Kemahiran KEMAS Seri Iskandar (AKKSI) dalam bidang Fesyen dan Teknologi Pakaian, manakala 110 lagi menamatkan pengajian di Akademi Kemahiran KEMAS Gopeng (AKKGO) dalam bidang Kulinari, Penyediaan Makanan dan Jahitan Pakaian Lelaki.

-Advertisement-

KEMAS turut merekodkan kadar kebolehpasaran graduan TVET sebanyak 87.1 peratus, sekali gus mencerminkan kejayaan institusi itu dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersedia memenuhi permintaan pasaran pekerjaan serta menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar.

Majlis konvokesyen ini turut menjadi simbol komitmen berterusan KEMAS dalam memperkasakan modal insan menerusi pendidikan kemahiran, sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan usahawan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan komuniti desa. – The Capital Post