Kestabilan Politik Kunci Kemajuan Johor – Pemuda AMANAH

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU, 26 Jun 2026 – Prinsip bahawa persaingan politik perlu berlaku secara sihat antara parti-parti politik seperti yang ditegaskan oleh Presiden AMANAH wajar dijadikan panduan oleh semua pihak dalam membentuk landskap politik Johor, menurut Angkatan Muda Harapan (AMH).

Pengarah Komunikasi AMH, Ammar Atan berkata, Johor pada ketika ini memerlukan kestabilan politik, perpaduan serta kepimpinan yang meletakkan kepentingan rakyat melebihi segala kepentingan politik lain bagi memastikan negeri itu terus maju dan makmur.

Beliau berkata, model Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah membuktikan bahawa perbezaan politik boleh diketepikan demi kepentingan negara, sekali gus memberi manfaat nyata kepada rakyat.

“Keyakinan pelabur semakin meningkat, ekonomi negara terus berkembang, peluang pekerjaan bertambah dan pelbagai inisiatif kebajikan berjaya dilaksanakan. Semua ini hanya dapat dicapai melalui sebuah kerajaan yang stabil,” menurut kenyataan itu.

Ammar turut menegaskan bahawa Johor mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai negeri paling maju di Malaysia. Namun, potensi tersebut hanya dapat direalisasikan sekiranya wujud kestabilan politik dan kerjasama matang antara semua pihak.

Menurut beliau, Johor memerlukan politik yang berteraskan penyelesaian masalah, bukannya pertelingkahan berpanjangan yang boleh menjejaskan pembangunan negeri serta masa depan anak muda.

“Anak muda Johor mempunyai bakat dan potensi besar. Tanggungjawab semua pihak ialah memastikan bakat ini dimanfaatkan untuk pembangunan negeri, bukan dibelenggu konflik politik,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata pengalaman politik semasa menunjukkan bahawa dominasi satu pihak atau satu ideologi boleh menyukarkan pembinaan persefahaman yang lebih luas.

-Advertisement-

Sehubungan itu, Johor memerlukan kepimpinan yang mampu merapatkan jurang, membina titik persamaan serta mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik sempit.

Ammar turut mengingatkan bahawa dalam sistem demokrasi, semua pihak berhak menyuarakan pandangan mengenai masa depan negeri. Namun, mandat untuk memilih kerajaan kekal di tangan rakyat.

Beliau berkata, pilihan raya perlu menjadi medan penilaian rakyat terhadap rekod, dasar, keupayaan pentadbiran dan komitmen sebenar pemimpin, bukan alat kepada mana-mana pihak untuk kepentingan tertentu.

“Biarlah pertandingan ini berlangsung secara sihat melalui idea, dasar dan rekod perkhidmatan. Akhirnya, biarlah rakyat membuat keputusan demi kepentingan Johor dan rakyatnya,” katanya.

Kenyataan itu diakhiri dengan seruan agar rakyat diberi ruang sepenuhnya untuk menentukan masa depan negeri.

“Biarlah rakyat menentukan, demi Johor yang lebih maju.” – The Capital Post