PETALING JAYA 28 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuhkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi fenomena penuaan penduduk menerusi pendekatan dasar yang lebih menyeluruh, bersepadu dan mampan bagi menjamin kesejahteraan warga emas pada masa hadapan.
Komitmen itu dizahirkan menerusi penyertaan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM, YBrs. Encik Mohd Daud bin Mohd Arif, sebagai ahli panel dalam Forum dan Pameran bertajuk Rising Healthcare Costs and Inadequate Retirement Savings: A Double Whammy on Retirement anjuran Third Age Media Association di Assunta Hospital, Petaling Jaya.
Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KPWKM, Asmar Asmadi Abdullah Sani, pegawai Unit Dasar Warga Emas serta wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kementerian memacu agenda nasional berkaitan pembangunan dan kebajikan warga emas.
Dalam forum tersebut, YBrs. Encik Mohd Daud bin Mohd Arif menegaskan bahawa Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang tahun 2036, sekali gus menuntut persediaan dasar yang lebih komprehensif bagi menangani cabaran sosial, ekonomi dan kesihatan yang berkaitan dengan peningkatan populasi warga emas.
Beliau turut menekankan bahawa isu penuaan penduduk bukan hanya tanggungjawab satu kementerian, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh melibatkan kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta pelbagai pihak berkepentingan melalui pendekatan whole-of-nation.
-Advertisement-
Selain itu, KPWKM terus memperkukuhkan Ekosistem Penjagaan Jangka Panjang (Long-Term Care) menerusi pembangunan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang penjagaan, penggubalan Standard Penjagaan Kebangsaan serta sokongan kepada pembangunan ekonomi berasaskan keperluan warga emas atau Silver Economy.
Pada masa sama, beliau turut mengetengahkan dua inisiatif strategik yang menjadi pemacu utama agenda kementerian, iaitu Rang Undang-Undang Warga Emas yang bertujuan memperkukuhkan perlindungan, hak dan akauntabiliti terhadap kebajikan warga emas, termasuk menangani isu pengabaian, penderaan serta eksploitasi.
KPWKM juga sedang membangunkan Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia bagi mewujudkan ekosistem penjagaan yang lebih mampan, bersepadu dan berasaskan komuniti, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Kementerian menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap warga emas di negara ini dapat menjalani kehidupan yang bermaruah, selamat dan sejahtera, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kesejahteraan rakyat sepanjang kitaran hayat mereka. – The Capital Post