YB Fahmi Fadzil Rasmikan NADI Kampung Parit Kemang

Estimate Reading Time: < 1 minute

BATU PAHAT 28 Jun 2026 (The Capital Post) – Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Parit Kemang, Batu Pahat, Johor dalam usaha memperkukuh akses digital dan memperluaskan literasi teknologi dalam kalangan komuniti setempat.

Pada majlis yang sama, YB Datuk Fahmi turut melancarkan Program AI for Community@NADI yang dilaksanakan dengan kerjasama Pepper Labs dan Amazon Web Services (AWS), sebagai inisiatif memperluas pemahaman serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan masyarakat akar umbi.

Pelaksanaan program berkenaan turut diperkukuhkan melalui pengiktirafan NADI di peringkat antarabangsa menerusi World Summit on the Information Society (WSIS) serta peranannya sebagai Digital Transformation Centre di bawah International Telecommunication Union (ITU).

Pengiktirafan tersebut sekali gus membuka ruang lebih luas kepada komuniti setempat untuk mengakses program pembangunan digital, latihan kemahiran serta pensijilan bertaraf global yang dapat meningkatkan daya saing dalam ekonomi digital.

-Advertisement-

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tuan Haji Bukhari Yahya; Pengurus Negara Sektor Awam Amazon Web Services, Hafiz Hassan; serta Pengasas Pepper Labs, Ir. Kuhan Pathy.

Kementerian Komunikasi menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh ekosistem digital negara melalui peluasan akses teknologi, pembangunan kemahiran digital serta pemerkasaan komuniti tempatan agar tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital global. – The Capital Post