Hari Bapa 2026 Perkukuh Peranan Bapa

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 29 Jun 2026 (The Capital Post) – Peranan golongan bapa dalam membentuk institusi keluarga yang kukuh terus diberi penekanan menerusi Sambutan Hari Bapa 2026 Peringkat Kebangsaan yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), YB Puan Lim Hui Ying, bagi mewakili Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Haji Fadillah Bin Haji Yusof.

Bertemakan “Sehebat KASIH Bapa”, sambutan tersebut mengetengahkan penghargaan terhadap sumbangan seorang bapa sebagai tonggak keluarga yang bukan sahaja bertanggungjawab menyediakan keperluan hidup, malah berperanan sebagai pendidik, pelindung serta pembimbing dalam membentuk sahsiah dan masa depan anak-anak.

Seiring dengan aspirasi Dasar KASIH Keluarga Negara, KPWKM menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) terus memperluaskan pelbagai program bagi memperkasakan institusi kekeluargaan. Antaranya ialah pelaksanaan Modul Kebapaan yang dirangka untuk meningkatkan kemahiran serta keupayaan golongan bapa dalam mengharungi cabaran keibubapaan dan kehidupan masa kini.

Selain itu, inisiatif MEN Empowerment Network (MEN) atau Jaringan Pemerkasaan Lelaki turut diperkukuhkan sebagai platform kerjasama strategik yang menghimpunkan 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Jaringan tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti golongan lelaki menerusi latihan berkaitan pengurusan konflik, kemahiran keibubapaan serta penjagaan kesihatan mental.

Antara organisasi yang menyertai jaringan berkenaan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pertubuhan Bapa Hebat Malaysia (Better’s Dad Malaysia), Persatuan Adab Gemilang (Adab Youth Garage), Global Islamic Parenting Network, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Asas Bina Negara, Kelab Sahabat KafeTEEN, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta Pertubuhan Memperkukuhkan Institusi Perkahwinan dan Keluarga Malaysia (MyFamily).

-Advertisement-

Majlis berkenaan turut menandakan permulaan kerjasama yang lebih menyeluruh melibatkan kesemua 20 NGO melalui penganjuran forum serta sesi libat urus yang memfokuskan kepada usaha memperkasa golongan lelaki dan memperkukuh institusi keluarga di negara ini.

Sebagai sebahagian daripada pengisian sambutan, orang ramai turut dijemput mengikuti Forum Hari Bapa 2026 yang akan disiarkan secara dalam talian menerusi platform Maskulin pada 2 Julai 2026 bagi memperluaskan perbincangan mengenai peranan bapa dalam masyarakat.

Dalam majlis yang sama, Anugerah Khas Inspirasi Bapa turut disampaikan sebagai pengiktirafan kepada individu yang menunjukkan ketabahan, pengorbanan dan komitmen luar biasa dalam membesarkan serta mendidik anak-anak.

Penganjuran Sambutan Hari Bapa 2026 diharap dapat terus memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan organisasi masyarakat sivil dalam memperkasa peranan golongan bapa, sekali gus menyemai nilai kasih sayang, tanggungjawab dan kepimpinan keluarga demi melahirkan generasi yang lebih sejahtera dan berkualiti. – The Capital Post