UM Perkasa Keusahawanan Mahasiswa

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 29 Jun 2026 (The Capital Post) – Universiti Malaya terus memperkukuh agenda pembangunan usahawan muda menerusi penganjuran Program Jaguh Keusahawanan Nasional Siri 7/2026 hasil kerjasama antara Pusat Keusahawanan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Program yang berlangsung pada 26 hingga 27 Jun lalu berjaya menghimpunkan penyertaan daripada 24 institusi pengajian tinggi di seluruh negara, sekali gus menyediakan platform bagi melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berdaya saing, inovatif dan berfikiran keusahawanan.

Majlis Perasmian Penutupan program telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Ekosistem Keusahawanan KUSKOP, YBrs. Dr. Salmah Sathiman, manakala ucapan alu-aluan disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya, YBrs. Profesor Dr. Zamri Radzi.

-Advertisement-

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan kepada pelbagai modul pembangunan keusahawanan yang merangkumi latihan intensif, sesi bimbingan, pembangunan idea perniagaan, pengukuhan model perniagaan serta pembentangan cadangan perniagaan atau pitching kepada panel penilai.

Penganjuran Program Jaguh Keusahawanan Nasional mencerminkan komitmen berterusan Universiti Malaya dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan pelajar menerusi kerjasama strategik bersama KUSKOP, INSKEN, agensi kerajaan, rakan industri serta institusi pengajian tinggi bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. – The Capital Post