KPWKM Anjur Ceramah Sempena Maal Hijrah

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 30 Jun 2026, (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) dengan kerjasama Surau Al-Hasanah KPWKM telah menganjurkan Program Penghayatan Nilai-Nilai Islam Siri 4/2026 sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H bagi memperkukuh kefahaman warga kementerian terhadap makna hijrah dalam kehidupan seharian.

Program yang berlangsung di Auditorium Aras 7, KPWKM itu menghimpunkan kira-kira 70 peserta terdiri daripada warga KPWKM, jabatan serta agensi di bawah kementerian bagi mengikuti pengisian kerohanian yang memfokuskan pembentukan sahsiah dan nilai murni dalam perkhidmatan awam.

Ceramah bertajuk “Hijrah atau Hanyut? Pilihan di Tangan Kita” telah disampaikan oleh YBrs. Ustaz Zul Ramli bin Mohamed Razali, yang menekankan bahawa perubahan ke arah kebaikan perlu bermula daripada diri sendiri dengan meletakkan keutamaan kepada ketaatan dan pengabdian kepada Allah SWT.

Menurut beliau, kejayaan sesuatu penghijrahan bukan sekadar perubahan luaran, malah bergantung kepada keikhlasan hati serta kesungguhan untuk meninggalkan perkara yang tidak membawa manfaat kepada kehidupan dan beralih kepada amalan yang lebih baik.

-Advertisement-

Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran warga KPWKM mengenai konsep hijrah yang sebenar, selain memberi kefahaman tentang faktor yang boleh menghalang proses perubahan diri daripada mencapai matlamat yang diharapkan.

Secara keseluruhannya, program tersebut menjadi wadah untuk memperkukuh pembangunan rohani, integriti dan akhlak dalam kalangan penjawat awam agar nilai-nilai Islam terus menjadi panduan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab kepada masyarakat dan negara. – The Capital Post