PUTRAJAYA 30 Jun 2026, (The Capital Post) – Kerajaan akan melaksanakan Hari Bekerja Hibrid (HBH) dalam Perkhidmatan Awam bermula 1 Ogos 2026 sebagai sebahagian daripada agenda reformasi sektor awam yang memberi lebih fleksibiliti kepada penjawat awam tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menerusi pelaksanaan itu, penjawat awam dibenarkan bekerja sehingga dua hari seminggu dari rumah atau lokasi alternatif yang mendapat kelulusan Ketua Jabatan, manakala baki tiga hari lagi perlu hadir ke pejabat mengikut keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat yang telah ditetapkan.
Bagi memastikan operasi kerajaan terus berjalan lancar, hari kehadiran wajib ke pejabat ditetapkan mengikut negeri. Penjawat awam di negeri yang bercuti hujung minggu pada Ahad diwajibkan hadir ke pejabat pada hari Isnin dan Jumaat, manakala bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu, kehadiran wajib ditetapkan pada hari Ahad dan Khamis.
Kerajaan turut menegaskan bahawa pelaksanaan HBH tidak melibatkan perkhidmatan kritikal yang memerlukan kehadiran fizikal secara berterusan. Perkhidmatan seperti kaunter kerajaan, keselamatan, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan institusi kehakiman akan terus beroperasi seperti biasa bagi memastikan kelangsungan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.
-Advertisement-
Pada masa sama, pelaksanaan HBH akan menggantikan pengaturan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang dilaksanakan sebelum ini susulan konflik di Asia Barat.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh budaya kerja yang lebih moden, fleksibel dan berorientasikan prestasi menerusi penggunaan teknologi digital, di samping memastikan mutu penyampaian perkhidmatan awam kekal cekap, berkesan dan memenuhi keperluan rakyat. – The Capital Post