PUTRAJAYA 2 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan (KPM) mempergiat pelaksanaan projek pembangunan semula bangunan sekolah daif di seluruh negara sebagai sebahagian usaha berterusan memastikan kemudahan pendidikan yang lebih selamat, kondusif dan berkualiti kepada murid serta guru.
Menurut KPM, sebanyak 1,250 projek pembangunan semula sekolah daif telah diluluskan dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM13.8 bilion bagi menangani keperluan infrastruktur pendidikan yang kritikal di pelbagai lokasi.
Sehingga Jun 2026, sebanyak 813 projek telah siap sepenuhnya, manakala 173 projek sedang dalam fasa pembinaan. Sementara itu, 264 projek lagi berada pada peringkat prabina, dengan tempoh pelaksanaan dijangka antara enam hingga 36 bulan bergantung kepada skop kerja serta keadaan tapak projek.
-Advertisement-
Kementerian turut menjelaskan bahawa bilangan sekolah daif adalah bersifat dinamik dan boleh berubah dari semasa ke semasa, bergantung kepada penilaian serta pemantauan berterusan oleh jabatan pendidikan negeri (JPN) di seluruh negara.
KPM menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap murid di seluruh negara menikmati akses kepada persekitaran pembelajaran yang selamat dan berkualiti, selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem pendidikan negara secara menyeluruh. – The Capital Post