KUALA LUMPUR 2 Julai 2026 (The Capital Post) – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempergiat pelaksanaan operasi penguatkuasaan terhadap pemandu yang didapati berada di bawah pengaruh dadah sebagai langkah meningkatkan keselamatan jalan raya di seluruh negara.
Perkara itu ditegaskan oleh Pengarah JSPT, YDH CP Dato’ Sri Muhammed Hasbullah bin Ali dalam satu sidang media di Bukit Aman, di sini yang turut melibatkan wakil-wakil media tempatan.
Menurut beliau, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pemandu yang didapati melanggar undang-undang dengan memandu di bawah pengaruh dadah, memandangkan tingkah laku tersebut berpotensi tinggi mengundang kemalangan serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
-Advertisement-
Sidang media berkenaan turut dihadiri oleh barisan kepimpinan JSPT termasuk Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan, Kawalan Lalu Lintas dan Pengurusan Saman), YDH DCP Mohd Rozi bin Jidin; Timbalan Pengarah (Kepolisan Am, Siasatan dan Sumber), YDH ACP Fauzi bin Osman; serta Ketua Urus Setia JSPT, YDH ACP Shankar A/L Sanrakasa.
JSPT menegaskan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi berkaitan dalam memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara lebih berkesan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya. – The Capital Post