KESUMA Perkasa Kesatuan Sekerja Sarawak Melalui Geran PHEKS 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUCHING 3 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) meneruskan usaha memperkukuh institusi kesatuan sekerja dengan menyalurkan Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2026 kepada 23 kesatuan sekerja di Sarawak bagi menyokong pelaksanaan pelbagai program pembangunan organisasi dan peningkatan kapasiti ahli.

Majlis penyerahan geran yang berlangsung di The Waterfront Hotel, Kuching itu merupakan acara penutup bagi siri penyampaian Geran PHEKS 2026 di seluruh negara. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Haji Azman Mohd Yusof.

Melalui inisiatif itu, sejumlah RM310,000 diperuntukkan kepada kesatuan-kesatuan sekerja terpilih di Sarawak untuk melaksanakan program yang memfokuskan kepada pengukuhan tadbir urus organisasi, pembangunan kepimpinan serta peningkatan kemahiran dan keupayaan ahli bagi memastikan peranan kesatuan terus relevan dalam landskap pekerjaan semasa.

Dalam ucapannya, Datuk Haji Azman menegaskan bahawa Kerajaan MADANI terus memberi keutamaan kepada kebajikan pekerja dengan mengiktiraf kesatuan sekerja sebagai rakan strategik dalam mewujudkan hubungan perusahaan yang stabil, harmoni dan saling menguntungkan, selain memastikan hak serta kepentingan pekerja sentiasa dipelihara.

-Advertisement-

Beliau turut berkongsi beberapa inisiatif utama yang telah diperkenalkan oleh KESUMA, termasuk pelaksanaan Perintah Gaji Minimum, penggubalan Akta Pekerja Gig 2025 serta Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO yang bertujuan memperluaskan perlindungan sosial dan meningkatkan kesejahteraan tenaga kerja di Malaysia.

Program PHEKS dijangka terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan pengurusan kesatuan sekerja, melahirkan kepimpinan yang lebih berkesan serta menyokong pembangunan modal insan yang berdaya saing demi kemajuan ekonomi dan kesejahteraan negara. – The Capital Post