AUSTRALIA 3 Julai 2026, (The Capital Post) – Usaha memperkukuh pembangunan teknologi pertahanan negara diteruskan menerusi lawatan kerja Menteri Pertahanan Malaysia ke institusi penyelidikan dan akademik di Australia yang memberi tumpuan kepada inovasi teknologi berimpak tinggi.
YB Dato’ Seri Khaled Nordin meneruskan hari ketiga lawatan rasminya dengan mengunjungi Institute for Space, Defence and Advanced Technologies (ISDAT) di University of Southern Queensland (USQ), selain mengadakan pertemuan rasmi bersama Naib Canselor dan Presiden USQ, Professor Paul Mazerolle.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut diberikan taklimat serta dibawa meninjau kemudahan makmal Advanced Composite Manufacturing dan makmal Hypersonic yang dibangunkan hasil kerjasama strategik antara institusi akademik dan sektor industri pertahanan. Inisiatif ini memperlihatkan pendekatan bersepadu dalam mempercepat pembangunan teknologi canggih melalui sinergi penyelidikan dan aplikasi industri.
-Advertisement-
Lawatan berkenaan turut menekankan kepentingan hubungan erat antara akademia dan industri dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) pertahanan negara, selaras dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam teknologi pertahanan masa hadapan.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan turut berkesempatan bertemu Dr. Hizam Rusmi, seorang penyelidik Malaysia yang kini berkhidmat di USQ dan merupakan anak kepada seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia, sebagai simbol sumbangan bakat negara di peringkat antarabangsa. – The Capital Post