Datuk Fahmi Tinjau Industri Animasi di Les’ Copaque Shah Alam

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM 3 Julai 2026, (The Capital Post) – Sektor animasi dan kandungan kreatif negara terus menjadi fokus perhatian kerajaan apabila Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengadakan sesi lawatan industri ke studio Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. di Shah Alam bagi menilai perkembangan, cabaran serta potensi pertumbuhan industri berkenaan.

Lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan menyeluruh mengenai ekosistem produksi animasi tempatan di samping memperkukuh hubungan strategik antara kementerian dan pemain industri kreatif negara. Delegasi turut dibawa meninjau ruang kerja produksi bagi melihat secara langsung proses penghasilan kandungan animasi popular seperti siri Upin & Ipin.

Menurut Kementerian Komunikasi, sesi lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa industri kreatif digital, khususnya animasi, yang dilihat berpotensi besar untuk diperluaskan ke pasaran antarabangsa serta menyumbang kepada ekonomi kandungan negara.

-Advertisement-

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Datuk Bahria Mohd Tamil; Pengerusi FINAS, Dato’ Hans Isaac; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib; Setiausaha Bahagian Pembangunan Kandungan, Datin Izzatul Shima Md. Tahir; serta Ketua Pegawai Eksekutif My Creative Ventures, Encik Zainol Haqim Zainol Rashid bersama pegawai-pegawai kementerian dan agensi berkaitan.

Lawatan ini diharap dapat memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan dan industri kreatif dalam mempercepat pembangunan kandungan digital berkualiti tinggi serta memperluas daya saing Malaysia di peringkat global. – The Capital Post