SUNGAI RAMBAI 6 Julai 2026 (The Capital Post) – Festival Hello Komoditi Peringkat Negeri Melaka 2026 mendapat sambutan memberangsangkan daripada masyarakat setempat apabila menghimpunkan pelbagai pengisian yang memberi pendedahan mengenai sektor agrikomoditi serta inisiatif pembangunan industri kepada orang ramai.
Program yang dianjurkan menerusi kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai itu telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh. Turut mewakili KPK ialah Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Haji Shafie Taib.
Sepanjang festival berlangsung, KPK bersama agensi di bawahnya menyediakan pelbagai reruai pameran dan perkhidmatan yang menawarkan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan, khidmat nasihat kepada pengusaha serta promosi produk agrikomoditi tempatan bagi meningkatkan kefahaman dan penglibatan masyarakat dalam sektor berkenaan.
-Advertisement-
Penganjuran festival ini turut mencerminkan usaha berterusan KPK dalam memperkukuh kesedaran awam terhadap peranan strategik industri agrikomoditi sebagai antara pemacu utama ekonomi negara. Selain itu, program seumpama ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai rakyat untuk meneroka peluang dalam sektor berkenaan serta menyokong pembangunan industri yang mampan. – The Capital Post