GUA MUSANG, Kelantan, 13 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan (KPM) terus memperkukuh kerjasama dengan institusi pendidikan menerusi Program Sekolah Berasrama Penuh Angkat Pengurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan yang diadakan di Sekolah Menengah Sains (SMS) Gua Musang.
Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) merakamkan penghargaan kepada Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr. Nor Saidatul Rajeah Zamzam Amin, atas kesudian mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan sempena program tersebut.
Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Hajah Siti Norina Muhamad; Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran JPN Kelantan, Mohd Suki Harun; Timbalan Ketua Nazir Negeri Kelantan, Zulkifli Husin; Pegawai Pendidikan Daerah Gua Musang, Rafeah Mat Zain; serta pegawai-pegawai JPN Kelantan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gua Musang.
Program itu menjadi platform untuk memperkukuh jalinan kerjasama antara pengurusan tertinggi KPM dengan pihak sekolah, JPN dan PPD, di samping meninjau pelaksanaan dasar pendidikan, berkongsi aspirasi serta menyokong usaha memperkasakan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kepimpinan murid di SMS Gua Musang.
-Advertisement-
Lawatan tersebut turut melibatkan tinjauan ke kawasan sekolah dan asrama, selain sesi dialog bersama pentadbir serta guru bagi membincangkan usaha mempertingkatkan kecemerlangan institusi berkenaan.
Menurut satu hantaran di laman Facebook rasmi Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, program itu mencerminkan komitmen KPM dalam memperkukuh kerjasama di semua peringkat bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.– The Capital Post.