TERENGGANU, 13 Julai 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid merasmikan Majlis Pengkisahan Sejarah Pulau Bidong: Kisah Kemanusiaan dan Kedaulatan Negara di Dewan Batu Bersurat, Lembaga Muzium Negeri Terengganu.
Program berkenaan mengangkat sejarah Pulau Bidong sebagai khazanah berharga negara selain mengimbau nilai kemanusiaan yang menjadi sebahagian daripada perjalanan sejarah Malaysia.
Dalam ucapannya, Dato’ Haslina berkata, penganjuran majlis tersebut diharap dapat memperkukuhkan kesedaran sejarah di peringkat nasional serta dalam kalangan masyarakat setempat.
Beliau turut menegaskan bahawa sejarah dan warisan merupakan khazanah yang menyatukan rakyat serta menjadi asas penting dalam pembinaan jati diri negara.
-Advertisement-
Menurut beliau, usaha menghargai dan memelihara warisan negara untuk generasi akan datang mampu memperkukuhkan perpaduan, mengekalkan keharmonian serta membina sebuah negara bangsa yang teguh, inklusif dan berdaya tahan.
Menurut satu hantaran di laman Facebook rasmi Kementerian Perpaduan Negara, program berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nilai sejarah Pulau Bidong serta kepentingannya sebagai sebahagian daripada warisan negara. – The Capital Post.