RUU Statistik 2026 Perkukuh Sistem Data Negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 14 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Ekonomi bersama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengadakan sesi taklimat kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 sebagai usaha memperkukuh pemahaman mengenai pembaharuan sistem statistik negara yang bakal menjadi asas kepada penggubalan dasar awam yang lebih tepat, berkesan dan berlandaskan data.

RUU Statistik 2026 diperkenalkan bagi menggantikan Akta Perangkaan 1965 yang telah diguna pakai selama lebih 60 tahun. Langkah pembaharuan itu dilaksanakan sejajar dengan perubahan landskap data negara yang kini semakin kompleks, berorientasikan digital dan melibatkan penyepaduan maklumat daripada pelbagai sumber.

Menerusi rang undang-undang tersebut, kerajaan berhasrat mewujudkan Sistem Statistik Negara yang lebih moden melalui penyelarasan statistik rasmi, penyeragaman definisi dan klasifikasi, peningkatan kualiti data serta pengoptimuman penggunaan data pentadbiran bagi menyokong proses penggubalan dasar yang lebih berkesan.

Menteri Ekonomi menegaskan bahawa data rasmi bukan sekadar himpunan angka, sebaliknya menjadi asas penting dalam menentukan keutamaan pembangunan negara, menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan serta menilai keberkesanan pelaksanaan dasar dan program kerajaan secara menyeluruh.

-Advertisement-

Pada masa sama, RUU Statistik 2026 turut memastikan bidang kuasa setiap kementerian dan agensi kerajaan terus dihormati. Penggunaan data hanya dibenarkan bagi tujuan penyediaan statistik rasmi, manakala kerahsiaan maklumat responden serta integriti sistem statistik negara akan terus dipelihara selaras dengan piawaian statistik antarabangsa.

Pembaharuan ini dijangka menjadi pemangkin kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan menyediakan data yang lebih pantas, berkualiti dan boleh dipercayai bagi memperkukuh proses perancangan, pemantauan serta penilaian impak dasar kerajaan. Kementerian Ekonomi dan DOSM turut merakamkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang hadir serta memberikan pandangan dan pertanyaan konstruktif bagi memperhalusi pelaksanaan RUU tersebut. – The Capital Post