Malaysia, Thailand Perkukuh Kerjasama Pertahanan Dua Hala

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 15 Julai 2026, (The Capital Post) – Menteri Pertahanan Thailand, TYT Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai perkara berkaitan kerjasama pertahanan dua hala termasuk latihan ketenteraan bersama serta pertukaran anggota tentera bagi tujuan latihan dan pendidikan ketenteraan profesional menerusi Malaysian Defence Cooperation Programme (MDCP).

Kedua-dua menteri turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh hubungan pertahanan dalam kerangka ASEAN melalui kerjasama serantau termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus.

Selain itu, kedua-dua pihak menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand menerusi General Border Committee Malaysia-Thailand (GBC MALTHAI) yang bakal dihoskan oleh Malaysia pada penghujung tahun 2026.

-Advertisement-

Dalam pertemuan itu, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin turut mengundang TYT Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen menghadiri Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 24 April 2027.

Kerjasama berterusan antara Malaysia dan Thailand dalam bidang pertahanan mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memastikan kestabilan, keselamatan serta hubungan strategik serantau terus diperkukuh. – The Capital Post