MSPO Perkasa Daya Saing Pekebun Kecil Sawit Tampin

Estimate Reading Time: < 1 minute

TAMPIN, 17 Julai 2026 (The Capital Post) – Program Pemantapan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Pekebun Kecil Sawit Daerah Tampin telah diadakan di Gemencheh, Negeri Sembilan bagi memperkukuh amalan kelestarian serta meningkatkan daya saing pekebun kecil sawit tempatan.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, yang menegaskan bahawa pensijilan MSPO bukan sekadar memenuhi piawaian kemampanan, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan daya saing pekebun kecil, peluasan akses pasaran serta penambahan nilai hasil sawit tempatan.

Sehingga 31 Mei 2026, seramai 4,648 pekebun kecil sawit di Negeri Sembilan telah berjaya memperoleh pensijilan MSPO melibatkan kawasan melebihi 16,300 hektar.

Daripada jumlah tersebut, daerah Tampin merekodkan seramai 785 pekebun kecil yang telah dipersijilkan dengan keluasan lebih 4,100 hektar kawasan sawit, sekali gus membuktikan komitmen tinggi pekebun kecil dalam melaksanakan pengurusan sawit secara mampan.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan terus memperkukuh usaha membantu pekebun kecil melalui khidmat nasihat, latihan serta sokongan teknikal bagi memastikan lebih ramai pengusaha sawit memperoleh pensijilan MSPO.

-Advertisement-

Usaha berterusan ini diyakini dapat memperkukuh kedudukan industri sawit Malaysia sebagai sektor yang mampan, berdaya saing dan diyakini di peringkat global.

Turut hadir YB Dato’ Mohd Isam Mohd Isa, Ahli Parlimen Tampin serta YBhg. Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Menurut satu hantaran di Facebook rasmi Dato’ Dr. Noraini Ahmad, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa pekebun kecil serta memastikan industri sawit negara terus berkembang secara mampan. – The Capital Post