MTEN Fokus Tiga Agenda Ketahanan Ekonomi

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 20 Oktober 2026 (The Capital Post) – Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) meneliti tiga agenda strategik utama yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi kitaran, pembangunan pusat data lestari dan pengukuhan ketahanan ekonomi nasional bagi menyokong pertumbuhan negara secara mampan.

Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri itu turut dihadiri Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Haji Mohd Nasir, dengan Kementerian Ekonomi bertindak sebagai sekretariat bagi menyelaras pelaksanaan keputusan dan dasar yang dipersetujui.

Bagi agenda ekonomi kitaran, kerajaan memberi tumpuan kepada penerimaan pakai rangka kerja menyeluruh menerusi mekanisme penyelarasan serta pemantauan bersepadu yang melibatkan kementerian peneraju dan agensi berkaitan.

Dalam aspek pembangunan pusat data lestari pula, perhatian diberikan kepada penyediaan pelan pengawalseliaan strategik, termasuk Rang Undang-Undang Infrastruktur Digital (Pusat Data) yang dijadualkan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 2027.

-Advertisement-

Sementara itu, usaha memperkukuh ketahanan ekonomi nasional akan diteruskan melalui pemantapan hala tuju National Economic Resilience Framework (NERF) sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Pendekatan penyelarasan rentas kementerian akan digunakan bagi memastikan kerangka berkenaan mengambil kira keperluan dan kepentingan pelbagai sektor.

Kementerian Ekonomi menegaskan komitmennya untuk menyelaras serta memantau pelaksanaan ketiga-tiga fokus tersebut agar keputusan dasar dapat diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan demi menyokong kemakmuran dan daya tahan ekonomi negara – The Capital Post