SUBANG JAYA 17 Julai 2026 (The Capital Post) – Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjalankan operasi kawalan keselamatan dan pemantauan di Pangsapuri Sri Dahlia, Bandar Puteri bagi menangani isu cop parkir yang menjadi antara aduan utama penduduk di kawasan tersebut.
Operasi berkenaan diketuai oleh Inspektor Rosli Yahya bersama anggota Bahagian Operasi MBSJ serta disertai wakil Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) MBSJ dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Polis Puchong Jaya.
Sebelum operasi dijalankan, satu sesi perbincangan telah diadakan pada 14 Julai lalu di Pejabat Pengurusan Pangsapuri Sri Dahlia bersama wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB). Perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada isu cop parkir yang didakwa sering mencetuskan rungutan serta ketidakpuasan hati dalam kalangan penduduk.
-Advertisement-
Hasil perbincangan mendapati pengurusan dan kawal selia petak parkir di kawasan pangsapuri berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB). Sehubungan itu, pihak JMB disaran mengambil tindakan yang bersesuaian mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan pengurusan strata yang sedang berkuat kuasa.
MBSJ menegaskan akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam menangani isu yang melibatkan kepentingan awam serta memastikan setiap tindakan dilaksanakan mengikut bidang kuasa masing-masing demi menjamin keharmonian dan kesejahteraan komuniti setempat. – The Capital Post