Klinik Konsultasi Tanah Bantu Orang Awam Fahami Urusan Pentadbiran

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 19 Julai 2026 (The Capital Post) – Orang ramai memanfaatkan perkhidmatan konsultasi percuma yang disediakan menerusi Klinik Konsultasi Pentadbiran Tanah sempena sambutan Hari Tanah Negara Ke-10 Tahun 2026 bagi mendapatkan khidmat nasihat serta penjelasan berkaitan pelbagai urusan pentadbiran tanah.

Program anjuran Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) itu menghimpunkan pegawai JKPTG bersama rakan strategik termasuk PEJUTA, JUPEM, GreenRE dan REHDA Institute bagi memberi konsultasi secara terus kepada pengunjung.

Antara perkara yang diberikan penerangan ialah pengurusan pusaka kecil, pembangunan strata, perundangan tanah, Sistem e-Tanah, MyLAND, pengurusan tanah Persekutuan serta proses pengambilan tanah.

-Advertisement-

Inisiatif tersebut bertujuan memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan pentadbiran tanah di samping membantu menyelesaikan pelbagai persoalan yang dihadapi oleh pemilik tanah dan waris.

JKPTG memaklumkan program itu turut mencerminkan komitmen jabatan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam dengan mendekatkan akses kepada masyarakat serta meningkatkan kefahaman rakyat mengenai hak, tanggungjawab dan tatacara pengurusan tanah yang lebih cekap, telus dan berintegriti. – The Capital Post