Benjolan Tanpa Sakit Boleh Jadi Petanda Kanser Testis

Estimate Reading Time: 2 minutes

BANDAR SUNWAY 19 Julai 2026 (The Capital Post) – Kanser testis merupakan kanser pepejal paling lazim dalam kalangan lelaki berusia antara 15 hingga 35 tahun, namun tahap kesedaran terhadap penyakit itu masih rendah walaupun ia mempunyai antara kadar penyembuhan tertinggi jika dikesan pada peringkat awal.

Menurut statistik global, kira-kira seorang daripada setiap 250 lelaki berisiko menghidap kanser testis sepanjang hayat, dengan purata usia diagnosis sekitar 33 tahun. Walaupun sering menyerang golongan muda, kemajuan dalam rawatan perubatan telah meningkatkan peluang pesakit untuk pulih sepenuhnya.

Pakar Perunding Urologi dan Pakar Bedah Robotik di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr. Murali Sundram Mikaail Abdullah berkata, kanser testis mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun sekitar 95 peratus sekiranya penyakit itu dikenal pasti dan dirawat lebih awal.

Beliau berkata, simptom awal penyakit itu lazimnya tidak menimbulkan kesakitan, menyebabkan ramai lelaki mengabaikan perubahan yang berlaku pada testis sehingga mendapatkan rawatan pada peringkat lebih lewat.

“Tanda paling awal ialah benjolan atau bengkak yang tidak menyakitkan pada salah satu testis. Sebarang perubahan seperti ini perlu dirujuk kepada pakar urologi dengan segera bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut,” katanya.

Dr. Murali turut menggalakkan lelaki, khususnya golongan muda, melakukan pemeriksaan kendiri testis secara berkala bagi mengesan sebarang perubahan pada peringkat awal.

Menurut beliau, proses diagnosis biasanya dimulakan dengan pemeriksaan ultrabunyi yang mempunyai kadar ketepatan sekitar 90 peratus dalam mengenal pasti kanser testis. Jika disahkan positif, pesakit akan menjalani ujian darah bagi mengesan penanda tumor serta imbasan CT untuk menentukan tahap penyebaran penyakit.

Katanya, kebanyakan pesakit yang didiagnosis pada Tahap I hanya memerlukan prosedur orkidektomi, iaitu pembedahan membuang testis yang terjejas, dengan tempoh kemasukan ke hospital yang singkat.

-Advertisement-

“Hasil rawatan bagi pesakit pada peringkat awal amat memberangsangkan. Antara 70 hingga 85 peratus pesakit boleh sembuh sepenuhnya melalui pembedahan sahaja, manakala sebahagian kecil mungkin memerlukan satu sesi kemoterapi sebagai langkah pencegahan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa prosedur tersebut lazimnya tidak menjejaskan fungsi seksual atau kesuburan kerana testis yang satu lagi masih mampu menjalankan fungsi secara normal.

Bagi pesakit yang disahkan menghidap kanser pada Tahap II atau III, kemoterapi kekal menjadi rawatan utama dan masih menawarkan peluang penyembuhan yang tinggi, dengan sekitar 70 peratus pesakit mampu mencapai pemulihan sepenuhnya.

Dalam keadaan tertentu, pesakit mungkin memerlukan prosedur diseksi nodus limfa retroperitoneal (RPLND) bagi membuang sisa tisu kanser selepas kemoterapi. Kini, prosedur itu turut boleh dilakukan menggunakan teknologi pembedahan berbantu robotik untuk pesakit yang sesuai, sekali gus membantu mempercepatkan proses pemulihan berbanding kaedah pembedahan terbuka.

Dr. Murali bagaimanapun menegaskan bahawa pemilihan kaedah rawatan bergantung kepada tahap penyakit dan keadaan pesakit, manakala pembedahan terbuka masih menjadi standard emas bagi kes yang lebih kompleks.

Beliau menyeru orang ramai agar tidak memandang ringan sebarang benjolan atau bengkak pada testis walaupun tidak menyebabkan kesakitan kerana pengesanan awal merupakan faktor paling penting dalam meningkatkan peluang sembuh serta mengurangkan komplikasi penyakit.

Kesedaran, pemeriksaan kendiri secara berkala dan tindakan mendapatkan pemeriksaan perubatan sebaik sahaja mengesan perubahan merupakan langkah terbaik untuk memastikan kanser testis dapat dirawat dengan lebih berkesan. – The Capital Post