PUTRAJAYA 22 Julai 2026 (The Capital Post) – Mesyuarat PEMUDAH Bilangan 3/2026 memberi penekanan kepada usaha memperkukuh tindakan terhadap aktiviti perniagaan tidak sah yang melibatkan warga asing, di samping mempercepat reformasi peraturan bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih cekap, telus dan berdaya saing.
Mesyuarat tersebut menjadi platform strategik yang menghimpunkan kerjasama antara kerajaan dan sektor industri dalam usaha memperkasakan reformasi peraturan serta meningkatkan daya saing ekonomi negara melalui pendekatan yang lebih efektif.
Sesi mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Ekonomi, YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Mohd Nasir bersama Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, serta Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), YBhg. Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kerenah birokrasi, memperkemas penyampaian peraturan serta mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih mesra industri bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
-Advertisement-
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah strategi intervensi untuk membanteras aktiviti perniagaan tidak sah melibatkan warga asing serta pencapaian Malaysia dalam IMD World Competitiveness Ranking 2026 sebagai penanda aras daya saing negara di peringkat antarabangsa.
Sebagai urus setia bersama PEMUDAH, Kementerian Ekonomi dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan terus memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta serta mempercepat pelaksanaan reformasi berimpak tinggi bagi meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan memperkukuh daya saing Malaysia. – The Capital Post