KUSKOP Perkasa Usahawan Halal di BIHAS 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUCHING 22 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terus memperkukuh pembangunan ekosistem industri halal negara menerusi pelbagai inisiatif, insentif dan geran yang diperkenalkan kepada usahawan sempena Borneo International Halal Showcase (BIHAS) 2026 di Kuching, Sarawak.

Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, menyertai sesi khas Special Townhall: Halal Initiatives, Incentives & Grants sebagai panelis bagi berkongsi pelbagai kemudahan yang disediakan kementerian untuk memperkasakan usahawan halal.

Dalam sesi tersebut, beliau menjelaskan pelbagai bentuk bantuan yang ditawarkan menerusi Program Pembangunan Keusahawanan Halal (PPKH), termasuk geran pembangunan serta inisiatif sokongan yang bertujuan meningkatkan daya saing perusahaan halal tempatan.

Selain itu, para peserta turut diberikan penerangan mengenai kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh agensi-agensi di bawah KUSKOP bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan serta memperluaskan peluang dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

-Advertisement-

Selepas sesi townhall berakhir, beliau mengadakan lawatan ke Pavilion KUSKOP bagi bertemu dengan para usahawan yang mengambil bahagian dalam BIHAS 2026. Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada beliau meninjau pelbagai produk dan inovasi yang dipamerkan sepanjang penganjuran acara berkenaan.

KUSKOP menegaskan komitmennya untuk terus memperkasa usahawan halal melalui penyediaan akses pembiayaan, pembangunan kapasiti, penggunaan teknologi serta peluasan pasaran. Usaha berterusan itu diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan halal yang berdaya saing di peringkat global sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju industri halal dunia. – The Capital Post