Hannah Yeoh: Kerjasama BN-PN Ibarat ‘Titanic’ Menunggu Karam

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) disifatkan umpama kapal Titanic yang hanya menunggu waktu untuk karam.

Timbalan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Hannah Yeoh, berkata keadaan itu akan terjadi berikutan kerjasama antara kedua-dua gabungan berkenaan tidak dibina atas asas kepercayaan dan kesetiaan politik.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), berkata kerjasama kedua-dua gabungan itu mungkin dilihat kukuh pada permulaan, namun sukar bertahan apabila masing-masing mempunyai cita-cita politik yang berbeza.

“Saya umpamakan kerjasama mereka seperti kapal Titanic yang akan karam bila-bila masa saja.

“Mereka bersorak gembira pada awal pelayaran, namun akhirnya karam selepas melanggar bongkah ais besar yang gagal dilihat berada di depan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, BN dan PN mencapai persefahaman untuk mengelak pertembungan sesama sendiri di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menerusi persefahaman itu, BN bertanding di 25 kerusi, manakala parti komponen PN iaitu PAS, GERAKAN, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Cinta Sabah (PCS) bertanding di 11 kerusi.

Gabungan itu berdepan Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di semua 36 kerusi, selain BERSATU yang meletakkan calon di 24 DUN.

Mengulas lanjut, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, kerjasama BN dan PN tidak mempunyai nilai ‘politik persahabatan’ kerana setiap pihak lebih mengutamakan cita-cita sendiri untuk menguasai tampuk kepimpinan negara.

“Masing-masing bercita-cita menjadi Perdana Menteri dan akan memijak satu sama lain untuk naik ke atas.

“Mereka juga tidak mahu rakan kerjasama berjaya. Yang mahu dijulang hanyalah pucuk masing-masing. Begitulah perumpamaan kerjasama BN dan PN hari ini.

-Advertisement-

“Mereka seperti kapal Titanic yang hanya menunggu masa untuk karam kerana tidak memiliki nilai politik persahabatan,” katanya.

Sebaliknya, Yeoh berkata, PH membuktikan kesetiaan dalam kerjasama antara parti komponennya apabila PKR, DAP dan AMANAH terus mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga beliau dilantik Perdana Menteri Ke-10.

“Kami kekal dengan hanya seorang kapten dalam sebuah nakhoda. Memenangkan calon HARAPAN adalah simbol kita mempertahankan nilai sebuah politik persahabatan.

“Kemenangan calon PH pada PRN Negeri Sembilan penting bagi mempertahankan nilai kesetiaan dan politik persahabatan yang menjadi asas gabungan itu.

“Ia adalah nilai yang tidak ada pada mana-mana kerjasama politik selain PH. Kekalkan HARAPAN, akan kekallah kerajaan dan pemimpin yang setia dengan nilai politik persahabatan ini. Percayalah,” katanya.

Terdahulu, Yeoh memaklumkan beliau membantu kempen calon PH bagi DUN Klawang, Datuk Ir Bakri Sawir.

“Malam tadi saya turun berkempen di Kuala Klawang, Jelebu untuk membantu sahabat saya, Datuk Ir Bakri yang bertanding mempertahankan kerusi PH di DUN Klawang yang dimenanginya pada 2018 dan 2023.

“Saya mengangkat tema politik persahabatan dalam ucapan saya. Saya imbas semula segala kekuatan dan kelemahan parti dalam PH yang mengikat kami sehingga ke hari ini.

“Saya ingatkan kepada mereka yang hadir supaya tidak risau atau teruja melihat kerjasama antara BN dan PN.

“Kerjasama itu tidak kekal lama kerana ia dibayangi pengkhianatan dan mereka yang tidak setia kepada sebuah politik persahabatan,” katanya. – Berita Harian