17 Warga MOSTI Terima Watikah Munsyi Muda Bahasa

Estimate Reading Time: < 1 minute

Kuala Lumpur, 29 Oktober 2026 – Seramai 17 pegawai dan kakitangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerima watikah pentauliahan sebagai Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam Tahun 2025/2026 dalam satu majlis yang berlangsung di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, pada 28 Oktober 2026.

Pentauliahan tersebut merupakan sebahagian daripada Program Serambi Budi Daya Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam Tahun 2026 yang dianjurkan oleh Unit Kecemerlangan Komunikasi dan Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa, INTAN dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Program berkenaan turut merangkumi Kursus Pemantapan Munsyi Muda Bahasa Bilangan 1/2026 serta Majlis Penyerahan Watikah Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam Tahun 2025/2026.

Penganjuran program itu turut mencatat pencapaian apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) menerusi penyertaan rujukan kamus terbesar yang melibatkan seramai 2,106 peserta.

Secara keseluruhan, seramai 363 penjawat awam dari seluruh negara menerima watikah pentauliahan tersebut, sekali gus memperkukuh usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam sektor perkhidmatan awam.

-Advertisement-

Pentauliahan Munsyi Muda Bahasa diharap dapat meningkatkan penggunaan bahasa Melayu yang tepat, jelas dan berkualiti dalam komunikasi serta urusan rasmi kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Selain itu, peranan Munsyi Muda Bahasa juga penting dalam memupuk budaya penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dalam kalangan penjawat awam, selaras dengan usaha memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Majlis tersebut turut dihadiri Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) MOSTI, Ooli Gunalan a/l Manickam, bersama peserta dan tetamu jemputan. – The Capital Post