KDN Perkukuh Keselamatan dan Inovasi 2026

Estimate Reading Time: 2 minutes

Putrajaya, 29 Oktober 2026 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh agenda keselamatan negara, penambahbaikan perkhidmatan awam dan budaya inovasi menerusi Perhimpunan Bulanan KDN bagi Oktober 2026 yang turut diserikan dengan Sambutan Hari Inovasi Peringkat KDN Tahun 2026.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bertindak sebagai hos bagi perhimpunan bulan ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik bin Jeman; Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah; serta timbalan-timbalan ketua setiausaha, ketua jabatan dan agensi serta setiausaha bahagian KDN.

Majlis dimulakan dengan persembahan pancaragam penuh oleh Pasukan Pancaragam APMM, diikuti peluncuran Armada Baharu Kementerian Dalam Negeri dan tayangan video yang merangkumkan program KDN sepanjang September 2026.

Pengisian majlis turut merangkumi pementasan teater bertajuk “Demi Satu Nyawa” yang menampilkan Adlin Aman Ramli. Persembahan itu mengangkat pengorbanan, keberanian dan komitmen petugas APMM dalam melaksanakan tanggungjawab demi keselamatan negara, khususnya dalam menghadapi pelbagai risiko ketika menjalankan operasi di laut, darat dan udara.

Dalam ucapan aluannya, Ketua Setiausaha KDN menekankan kepentingan memperkukuh imej kementerian dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap mutu penyampaian perkhidmatan jabatan serta agensi di bawah KDN.

Beliau turut menjelaskan bahawa penjenamaan semula kementerian bukan sekadar melibatkan perubahan identiti visual, malah merangkumi pengalaman rakyat ketika berurusan dengan perkhidmatan kerajaan, reputasi organisasi dan konsistensi dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Sementara itu, dalam amanatnya, Saifuddin menegaskan keperluan memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara melalui pendekatan penguatkuasaan yang menyeluruh, bersepadu dan berlapis bagi mengekang pencerobohan serta jenayah rentas sempadan.

Beliau turut menekankan bahawa keselamatan negara memerlukan kerjasama erat antara jabatan dan agensi berkaitan, selain komitmen berterusan seluruh warga KDN dalam memastikan setiap tanggungjawab dilaksanakan dengan berkesan.

-Advertisement-

Menteri Dalam Negeri turut menyentuh isu DPP Rohingya yang memerlukan penelitian dan pengurusan secara teratur berdasarkan dasar serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Pendekatan tersebut mencerminkan keperluan menangani isu keselamatan dan pengurusan warga asing dengan mengambil kira kerangka perundangan serta kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara.

Perhimpunan itu turut menyaksikan penyampaian sijil pengiktirafan 10,000 jam penerbangan pesawat Bombardier, sijil penghargaan kepada warga yang terlibat dalam operasi menyelamat susulan kemalangan di Sungai Linggi, Negeri Sembilan, serta penghargaan atas penyertaan dalam inisiatif Dashboard H.E.M.A.T.

Selain itu, sijil pensijilan ISO/IEC 27001:2022 bagi Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM, Ts. Md. Adha Katni@Rahmat, kepada Menteri Dalam Negeri. Pensijilan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap komitmen KDN dalam memperkukuh pengurusan keselamatan maklumat serta perlindungan sistem dan maklumat kementerian.

Sebagai kemuncak majlis, Saifuddin merasmikan Hari Inovasi KDN Tahun 2026 dan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Inovasi Peringkat KDN. Program itu menjadi platform untuk menghargai kreativiti serta idea baharu warga kementerian dalam menambah baik proses kerja dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama pengurusan tertinggi kementerian serta lawatan ke Pameran Inovasi KDN bagi meninjau hasil inovasi yang diketengahkan.

Penganjuran bersama APMM ini mencerminkan usaha berterusan KDN dan agensi di bawahnya untuk memperkukuh kerjasama, meningkatkan profesionalisme serta memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.

  • The Capital Post