PUTRAJAYA 25 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperkukuh struktur kepimpinan organisasi menerusi penyerahan watikah pelantikan kepada enam pegawai kanan kementerian serta agensi di bawahnya dalam usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Majlis penyerahan watikah tersebut berlangsung di Pejabat Ketua Setiausaha KESUMA, Putrajaya dan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, YBhg. Datuk Haji Azman Mohd Yusof.
Antara pegawai yang menerima pelantikan baharu ialah Puan Betty Hasan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia, Encik Bashah Bachik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS), serta Puan Grace A/P Dairiam yang dilantik sebagai Setiausaha Bahagian Dasar KESUMA.
-Advertisement-
Turut menerima watikah pelantikan ialah Encik Yusoff Harun sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Encik Che Mohd Rokman Che Awang sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) JTKSM serta Encik Mohd Nizar Zakaria sebagai Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sabah.
Pelantikan tersebut mencerminkan komitmen KESUMA dalam memperkukuh tadbir urus organisasi, memperkasa barisan kepimpinan serta memastikan perkhidmatan berkaitan sektor pekerjaan dan pasaran buruh negara terus disampaikan secara cekap, berintegriti dan berkesan kepada rakyat – The Capital Post