Baling “Padayappa” Mahu Faizal Kekal Di Linggi

Estimate Reading Time: 2 minutes

LINGGI, 27 Julai 2026 (The Capital Post) – Kempen calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N32 Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli, terus mendapat sokongan kepimpinan parti apabila Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO & Bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim yang lebih dikenali sebagai YB Padayappa, serta Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, menghadiri Program Ceramah Kelompok bersama masyarakat India dun Linggi.

Dalam ucapannya, Dato Seri Abdul Azeez menggesa masyarakat India di DUN Linggi agar memberikan sokongan kepada Mohd Faizal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, dengan menyatakan bahawa kemenangan BN akan membolehkan agenda pembangunan serta kebajikan masyarakat terus diperkasakan.

Datuk Faizal Ramli Calon Barisan Nasional Linggi Berucap dengan Masyarakat India Pasir Panjang

Beliau turut menekankan kepentingan memilih wakil rakyat yang dekat dengan masyarakat, mudah ditemui dan memahami keperluan penduduk setempat tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Menurut beliau, kesinambungan pembangunan di kawasan Linggi memerlukan kerjasama semua pihak, selain mandat yang kukuh untuk memastikan pelbagai inisiatif dapat diteruskan demi manfaat rakyat.

Sementara itu, Datuk Seri Syed Ibrahim berkata masyarakat India perlu membuat pilihan berdasarkan rekod perkhidmatan serta pengalaman pentadbiran. Beliau turut menyifatkan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, telah memberi manfaat kepada masyarakat India dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

-Advertisement-

Kedua-dua pemimpin itu turut menyeru pengundi supaya membuat pertimbangan sewajarnya ketika memilih Datuk Faizal Ramli pada hari pengundian serta tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji yang ditawarkan sepanjang tempoh berkempen.

Ceramah kelompok Kecil tersebut dihadiri lebih 100 masyarakat india setempat dari Pasir Panjang, Linggi.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi DUN N32 Linggi menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandang Datuk Mohd Faizal Ramli (BN), Datuk Seri Aminuddin Harun (Pakatan Harapan) dan Datuk Zamri Md Said (Bersatu).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai 2026, manakala hari pengundian ditetapkan pada 1 Ogos 2026. DUN N32 Linggi merupakan antara 36 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri kali ini. – The Capital Post