Malaysia Perkukuh Komitmen Agromakanan di Sidang FAO

Estimate Reading Time: < 1 minute

ROME 27 Julai 2026 (The Capital Post) – Malaysia menegaskan komitmennya dalam memperkukuh sistem agromakanan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan menerusi penyertaan aktif dalam Sidang Ke-30 Jawatankuasa Pertanian Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) yang berlangsung di Ibu Pejabat FAO di Rome, Itali, dari 20 hingga 24 Julai lalu.

Penyertaan negara diketuai oleh Setiausaha Bahagian Sekuriti Makanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Encik Jazman Azi Jamalludin, yang baru dilantik sebagai titik fokal kebangsaan bagi Jawatankuasa Pertanian FAO (COAG). Turut menyertai delegasi ialah pegawai Bahagian Sekuriti Makanan yang mengikuti persidangan secara dalam talian, selain wakil Pejabat Penasihat Pertanian di Rome, Puan Emelia Tay selaku Menteri Kedutaan (Pertanian) dan Encik Anwar Faiz Othman, Setiausaha Pertama (Pertanian), yang hadir secara fizikal.

Sepanjang persidangan tersebut, Malaysia menyampaikan tujuh kenyataan bagi pelbagai agenda utama, termasuk satu kenyataan mewakili Kumpulan Serantau Asia berkaitan pembangunan bioekonomi bagi menyokong sektor makanan dan pertanian yang mampan. Kenyataan negara turut menyentuh pelbagai aspek penting seperti pelaksanaan program kerja FAO dalam sektor agromakanan, inovasi bagi memperkukuh sekuriti makanan, pendekatan Satu Kesihatan (One Health), daya tahan terhadap perubahan iklim, pemeliharaan biodiversiti, pengurusan tanah dan sumber air secara lestari serta usaha memperkasa wanita, belia, peladang keluarga dan pekebun kecil.

-Advertisement-

Dalam sesi berkenaan, Malaysia turut menekankan kepentingan memperkukuh pemilikan negara terhadap pelaksanaan dasar pertanian, di samping meningkatkan kerjasama teknikal dan pembangunan kapasiti dalam kalangan negara anggota. Negara juga menggesa agar dasar serta inisiatif yang diterajui FAO terus berlandaskan sains, inovasi dan penggunaan teknologi digital bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan.

Selain itu, Malaysia berpandangan bahawa setiap program dan strategi yang digerakkan oleh FAO perlu sentiasa mengambil kira keutamaan negara anggota agar mampu memberikan manfaat yang nyata kepada petani, pengeluar makanan dan komuniti luar bandar, sekali gus menyokong pembangunan sektor agromakanan yang lebih mampan di peringkat global. – The Capital Post