PORT DICKSON, 27 Julai 2026 (The Capital Post) – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi merangkap bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli, menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Port Dickson selepas menerima jemputan daripada persatuan berkenaan di Port Dickson.
Majlis yang berlangsung dalam suasana mesra itu menghimpunkan ahli-ahli PVATM dari sekitar Port Dickson sebagai platform mengeratkan silaturahim serta menghargai jasa dan pengorbanan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah banyak berbakti kepada negara.
Mohd Faizal berkata, beliau sentiasa menghargai peluang untuk bersama komuniti veteran memandangkan Port Dickson dikenali sebagai bandar tentera yang menempatkan ramai anggota ATM yang masih berkhidmat serta pesara tentera.
Menurut beliau, sepanjang berkhidmat sebagai ADUN Linggi dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini, aspek kebajikan veteran ATM sentiasa diberi perhatian menerusi sokongan terhadap pelbagai program kemasyarakatan dan aktiviti yang dianjurkan oleh PVATM.
“Alhamdulillah, saya berbesar hati menerima jemputan daripada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Cawangan Port Dickson untuk menghadiri majlis ramah mesra ini. Saya sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan warga veteran, dan akan terus menyokong usaha-usaha yang memberi manfaat kepada mereka serta masyarakat setempat,” katanya.
-Advertisement-
Beliau turut berharap hubungan erat yang telah terjalin bersama komuniti veteran dapat terus diperkukuhkan demi memelihara semangat perpaduan, kebersamaan dan penghargaan terhadap pengorbanan bekas anggota ATM.
Majlis tersebut turut dihadiri Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Ustaz Abdul Fatah Zakaria, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta para jemputan.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Mohd Faizal Ramli bakal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N32 Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada 1 Ogos 2026. Sementara itu, Ustaz Abdul Fatah Zakaria turut mempertahankan kerusi DUN N31 Bagan Pinang yang disandangnya pada pilihan raya negeri kali ini. – The Capital Post.