KDN Perkasa Digitalisasi Dan Integriti Perkhidmatan Awam

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 28 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneruskan usaha memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan awam menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif transformasi digital dan pengukuhan integriti dalam Perhimpunan Bulanan KDN bagi Julai 2026 yang dianjurkan bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Perhimpunan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dengan turut menyaksikan pelancaran Ekosistem Digital JPPM, penyampaian Sijil Projek Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) serta penyerahan Poster Aduan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Dalam amanatnya, Datuk Seri Saifuddin menegaskan bahawa pelaksanaan inisiatif berkenaan merupakan langkah penting bagi mempercepatkan urusan perkhidmatan, mengurangkan kebergantungan kepada interaksi secara fizikal serta memperkukuh tahap ketelusan dan integriti dalam penyampaian kerajaan.

Beliau berkata, JPPM memainkan peranan penting dalam memastikan lebih 200,000 pertubuhan berdaftar di seluruh negara mematuhi peruntukan Akta Pertubuhan 1966, selain melaksanakan fungsi penguatkuasaan serta menyediakan program penerangan kepada masyarakat.

-Advertisement-

Majlis tersebut turut mengetengahkan pencapaian beberapa agensi di bawah KDN, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui inisiatif Mekar Didik yang membantu menangani isu berkaitan dokumentasi pengenalan diri dalam kalangan masyarakat.

Sempena sambutan Bulan Kebangsaan, Menteri Dalam Negeri turut menyeru seluruh warga KDN agar terus menyemarakkan semangat patriotisme, menghayati nilai kenegaraan serta menjadi contoh dalam mempertahankan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara. – The Capital Post