MPHS Perkasa Pendigitalan Penguatkuasaan Melalui SPKB

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA KUBU BHARU 29 Julai 2026, (The Capital Post) – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memeterai Perjanjian Harta Intelek dan Perjanjian Pelesenan Sistem Penguatkuasaan Bersepadu (SPKB) bersama Elix Solution Sdn. Bhd. sebagai langkah strategik memperkukuh tadbir urus serta mempercepat transformasi digital dalam pengurusan penguatkuasaan.

Majlis tersebut turut dihadiri wakil daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor serta Malaysia Smart Cities Alliance Association (MSCA), sekali gus mencerminkan sokongan pelbagai pihak terhadap usaha memperkasa inovasi sektor awam.

Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Yang Dipertua MPHS, Puan Julaihah Jamaludin, bagi pihak MPHS dan Ketua Pegawai Strategi Elix Solution Sdn. Bhd., Ahmad Muhsin Mubarak, bagi pihak syarikat tersebut sebagai simbol komitmen kedua-dua pihak untuk memperkukuh kerjasama strategik serta memperluaskan penggunaan Sistem Penguatkuasaan Bersepadu (SPKB).

-Advertisement-

SPKB merupakan sistem yang dibangunkan hasil kerjasama MPHS dan Elix Solution Sdn. Bhd. sejak tahun 2021 bagi memodenkan pengurusan penguatkuasaan melalui modul pengurusan kompaun, sitaan dan pendakwaan. Penggunaan peranti mudah alih oleh pegawai penguat kuasa membolehkan tugasan dilaksanakan secara masa nyata, sekali gus menggantikan proses manual dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Melalui pemeteraian perjanjian ini, MPHS terus memperkukuh komitmennya dalam memanfaatkan teknologi dan inovasi bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran serta memperluaskan kerjasama antara kerajaan, industri dan agensi berkaitan ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, berkesan dan berdaya saing. – The Capital Post