KKR Tegas Pantau Kemajuan Lebuhraya Pan Borneo Sabah

Estimate Reading Time: 2 minutes

Kota Kinabalu, 29 Oktober 2026 – Kementerian Kerja Raya (KKR) menegaskan komitmennya untuk memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dilaksanakan mengikut jadual, dengan pematuhan terhadap tatakelola serta syarat kontrak yang ditetapkan.

Komitmen itu penting bagi memastikan rakyat Sabah dapat menikmati kemudahan infrastruktur jalan raya yang berkualiti dan selamat, selain menyokong pembangunan sosioekonomi negeri.

Perkara tersebut ditegaskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Bil. 10/2026 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KKR bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Zainudin Aman.

Mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Tetap Kerajaan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Ridhwan Roger Linus; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR, YBhg. Datuk Khairus Masnan Abdul Khalid; serta Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Zul Hadi Ahmad.

KKR mengambil serius penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) serta hasil siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan pelaksanaan projek berkenaan. Setiap kelemahan yang dikenal pasti akan ditangani menerusi langkah penambahbaikan segera, khususnya dalam pengurusan projek, pemantauan kemajuan kerja dan pematuhan tatakelola.

Bagi Fasa 1A, kemajuan fizikal projek direkodkan pada 89.54 peratus berbanding 96.32 peratus yang dijadualkan. Susulan kelewatan itu, KKR telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan kontraktor berkaitan mengemukakan pelan pemulihan (recovery plan) yang realistik serta berkesan dengan segera.

-Advertisement-

Pelan berkenaan perlu merangkumi langkah memperkukuh keupayaan di tapak pembinaan melalui penambahan jentera dan tenaga kerja, selain memperluas waktu operasi bagi mempercepat pelaksanaan kerja.

KKR turut menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap prestasi pelaksanaan projek yang gagal mencapai sasaran. Tindakan kontraktual, termasuk penguatkuasaan Denda Ganti Rugi Ditetapkan (Liquidated Ascertained Damages, LAD), akan diambil sekiranya kontraktor gagal memenuhi obligasi dan sasaran berdasarkan peruntukan kontrak.

Pada masa yang sama, penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah akan terus diperkukuh bagi menangani cabaran pelaksanaan, termasuk isu ketersediaan tapak dan pengalihan utiliti.

KKR kekal komited untuk memastikan langkah pemulihan dilaksanakan secara berkesan melalui pemantauan rapi dan pematuhan tatakelola yang telus, demi memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dapat disiapkan dengan jayanya untuk manfaat rakyat negeri itu. – The Capital Post