SEDA Malaysia Perkasa Juruacara Hadapi ISES 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 29 Julai 2026, (The Capital Post) – Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia memperkukuh tahap kesiapsiagaan pasukan pengendali majlis menerusi penganjuran Latihan Crash Course Pengacaraan dan Pengendalian Majlis sebagai persediaan menjelang 7th International Sustainable Energy Summit (ISES) 2026.

Latihan yang berlangsung di Ibu Pejabat SEDA Malaysia itu bertujuan meningkatkan kemahiran serta keyakinan para juruacara yang akan bertugas sepanjang persidangan antarabangsa berkenaan, selain memastikan setiap pengendalian majlis dilaksanakan secara profesional, tersusun dan berkesan.

Sesi latihan tersebut dikendalikan oleh Tuan Haji Shahril Sarapudin, Jurulatih Ikon Academy, yang berkongsi panduan, teknik pengacaraan serta amalan terbaik dalam mengendalikan pelbagai bentuk acara rasmi. Perkongsian tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai aspek komunikasi, penyampaian dan pengurusan perjalanan majlis.

-Advertisement-

Turut hadir dalam sesi latihan berkenaan ialah Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SEDA Malaysia, Encik Izzad Zalman Abdul Kader, pegawai-pegawai SEDA Malaysia serta wakil daripada Jabatan Penerangan Malaysia yang turut menyertai program tersebut.

Melalui pelaksanaan latihan ini, SEDA Malaysia berharap kerjasama dan penyelarasan antara semua pihak yang terlibat dapat diperkukuh bagi memastikan kelancaran pengurusan majlis sepanjang ISES 2026, sekali gus menyokong kejayaan penganjuran sidang kemuncak tenaga lestari bertaraf antarabangsa itu. – The Capital Post