Putrajaya, 29 Oktober 2026 – Kerjasama strategik antara Malaysia dan China dalam sektor minyak sawit terus diperkukuh bagi melancarkan perdagangan, memastikan pematuhan standard keselamatan makanan serta memudahkan akses pasaran China kepada produk minyak sawit Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof, menerima kunjungan hormat delegasi Kastam Nanjing, China, yang diketuai Timbalan Ketua Pengarahnya, Cao Chuanqing, pada 28 Oktober 2026 di Bilik Mesyuarat Nyatoh, Aras 11, KPK, Putrajaya.
Kunjungan tersebut merupakan lawatan pertama wakil Pentadbiran Am Kastam China (GACC) ke KPK sejak 2018, sekali gus membuka peluang untuk memperluas kerjasama teknikal dan perdagangan antara kedua-dua negara.
Perbincangan memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama, termasuk kerjasama teknikal menerusi PORTSIM, pematuhan Standard Keselamatan Makanan China GB 31664-2025 serta cadangan pelaksanaan Program Perintis Pelabuhan Zhangjiagang.
-Advertisement-
Inisiatif berkenaan bertujuan memudah cara proses import minyak sawit Malaysia ke China, di samping menyokong kelancaran urusan perdagangan dan memastikan produk yang dieksport memenuhi keperluan standard keselamatan makanan negara pengimport.
KPK turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh hubungan kerjasama dengan GACC, dengan sokongan kepakaran teknikal Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Kerjasama berterusan ini penting bagi memastikan minyak sawit Malaysia kekal berdaya saing di pasaran China, selain memperkukuh hubungan perdagangan dua hala dan membuka ruang kepada proses eksport yang lebih cekap serta teratur. – The Capital Post