JKR KESEDAR Perkukuh Integriti Pengurusan Kewangan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KELANTAN 29 Julai 2026, (The Capital Post) – Jabatan Kerja Raya (JKR) KESEDAR menerima kunjungan pasukan audit bagi pelaksanaan Pengauditan Penampilan Audit (Kewangan) yang berlangsung pada 27 hingga 28 Julai 2026 sebagai usaha memastikan pengurusan kewangan jabatan sentiasa mematuhi peraturan serta prosedur yang ditetapkan.

Sesi pengauditan tersebut dilaksanakan oleh pegawai daripada Seksyen Audit Kewangan, Unit Audit Dalam, Kementerian Kerja Raya Malaysia dengan memberi tumpuan kepada tahap pematuhan terhadap tatacara pengurusan kewangan, pengurusan rekod, dokumentasi serta aspek tadbir urus jabatan.

Pelaksanaan audit ini bertujuan menilai kecekapan dan ketelusan pengurusan kewangan JKR KESEDAR, selain memastikan setiap proses dilaksanakan secara teratur, berintegriti dan selaras dengan peraturan yang sedang berkuat kuasa.

Selain berperanan sebagai mekanisme pemantauan, sesi audit berkenaan turut menjadi ruang penambahbaikan berterusan dalam memperkukuh amalan pengurusan kewangan yang berhemah serta meningkatkan tahap akauntabiliti warga kerja dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

-Advertisement-

JKR KESEDAR turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan audit atas kerjasama, pandangan serta teguran membina yang diberikan sepanjang proses pengauditan berlangsung.

Komitmen terhadap pengukuhan tadbir urus dan integriti akan terus dipertingkatkan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti, cekap dan berkesan kepada masyarakat. – The Capital Post