Warga Kementerian Ekonomi Jalani Program CSR Di Pulau Perhentian

Estimate Reading Time: < 1 minute

TERENGGANU 29 Julai 2026, (The Capital Post) – Seramai 35 warga Kementerian Ekonomi menyertai Program Meneroka dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Pulau Perhentian, Terengganu yang berlangsung dari 24 hingga 26 Julai 2026 sebagai usaha memperkukuh hubungan silaturahim, semangat kerjasama serta kesejahteraan warga kementerian.

Program yang dianjurkan oleh Biro Sosial dan Kembara itu bertujuan memberi ruang kepada peserta daripada pelbagai latar belakang untuk membina jaringan persahabatan, mengurangkan tekanan kerja serta menyegarkan minda menerusi aktiviti bersama dalam suasana alam semula jadi.

Sepanjang tiga hari dua malam program berlangsung, peserta menyertai pelbagai aktiviti termasuk pendakian santai ke puncak kincir angin, penyediaan jamuan barbeku secara gotong-royong serta aktiviti snorkeling di beberapa lokasi tumpuan seperti Turtle Beach, Turtle Point, Fish Point dan Shark Point.

Peserta turut berpeluang meneroka keunikan Lata Air Berani yang merupakan lokasi pertemuan antara sumber air tawar dan air masin laut. Selain itu, aktiviti CSR bersama ahli Masjid Ar-Rahman di Kampung Nelayan turut dilaksanakan dalam suasana penuh kemesraan walaupun peserta baru selesai menjalani pelbagai aktiviti sepanjang program.

-Advertisement-

Dalam masa sama, sebahagian peserta mengambil peluang mencuba aktiviti rekreasi air seperti menaiki banana boat, manakala yang lain menikmati pemandangan matahari terbenam di Coral Bay. Suasana program turut dimeriahkan dengan persembahan fire show oleh anak-anak pulau yang berbakat pada waktu malam.

Sebelum mengakhiri program dan kembali ke Putrajaya, para peserta turut singgah di Pasar Kedai Payang bagi mendapatkan ole-ole serta buah tangan untuk keluarga dan rakan-rakan.

Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai medium memperkukuh hubungan warga kementerian bersama masyarakat setempat, di samping meningkatkan kesedaran terhadap keindahan alam semula jadi serta kepentingan tanggungjawab sosial korporat. – The Capital Post