Santuari Kelah Berpotensi Jadi Tarikan Ekopelancongan Utama

Estimate Reading Time: < 1 minute

HULU TERENGGANU 29 Julai 2026, (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, mengadakan lawatan ke Santuari Kelah, Tasik Kenyir bagi meninjau potensi kawasan tersebut sebagai produk ekopelancongan berasaskan pemuliharaan alam semula jadi.

Lawatan berkenaan turut disertai Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KETENGAH, YBrs. Tuan Haji Mahdi Amin Ahmad serta Pengurus Zon Bebas KETENGAH, YBrs. Encik Shamsul Kamal Mohd Amin.

Santuari Kelah yang terletak di Tasik Kenyir dilihat mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancongan utama menerusi gabungan elemen pemuliharaan, pendidikan alam sekitar dan pengalaman ekopelancongan yang unik.

Lawatan tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha pemuliharaan spesies ikan kelah secara mampan, selain meneroka peluang memperkukuh pembangunan produk pelancongan berasaskan alam semula jadi yang mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

-Advertisement-

MOTAC dan KETENGAH komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dalam membangunkan produk pelancongan yang berkualiti, lestari dan berdaya saing, sekali gus menyokong usaha menjadikan Tasik Kenyir sebagai salah satu destinasi pelancongan pilihan utama negara.

Pembangunan berterusan sektor ekopelancongan di kawasan tersebut dijangka mampu memberi manfaat kepada ekonomi setempat selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan biodiversiti negara. – The Capital Post