PUTRAJAYA 3 Ogos 2026, (The Capital Post) – Pendekatan One Health dalam pengurusan rabies terus diperkasakan menerusi penganjuran Bengkel Latihan Pengurusan Kes Gigitan Haiwan Berisiko Rabies dan Seminar One Health 2026 yang berlangsung pada 20 hingga 22 Julai 2026.
Program tersebut dianjurkan secara bersama oleh Sektor Zoonosis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan (IHSR), Institut Kesihatan Negara (NIH) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), NIH sebagai usaha memperkukuh integrasi antara sektor kesihatan manusia, haiwan dan persekitaran.
Berteraskan Pendekatan One Health melalui konsep 4C iaitu Coordination, Communication, Collaboration dan Capacity Building, program berkenaan memberi penekanan kepada pengukuhan penyelarasan antara agensi, komunikasi berkesan, kerjasama pelbagai sektor serta pembangunan kompetensi petugas barisan hadapan.
Pada hari pertama, peserta mengikuti perkongsian berkaitan pengurusan klinikal rabies dan perspektif One Health melibatkan pakar kesihatan awam, veterinar serta penyelidik makmal yang membincangkan aspek epidemiologi rabies, diagnostik, pengurusan klinikal, strategi pencegahan serta bukti tempatan berkaitan reservoir rabies dan konsep immune belt.
Sesi pada hari kedua dan ketiga pula memberi pendedahan mengenai aplikasi Implementation Science dalam memperkukuh pendekatan One Health, termasuk aspek survelan bersepadu, pengurusan wabak, mengenal pasti jurang pelaksanaan serta membangunkan penyelesaian yang bersesuaian dengan konteks tempatan.
-Advertisement-
Program tersebut berjaya melatih lebih 120 pegawai daripada pelbagai Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), dengan kadar kelulusan ujian pasca-latihan melebihi 90 peratus, sekali gus menunjukkan keberkesanan pendekatan latihan yang dilaksanakan.
Penganjuran seminar ini turut membentuk jaringan kerjasama strategik bersama pelaksana di lapangan bagi memastikan kerangka teori dapat diterjemahkan kepada tindakan berkesan dalam sistem kesihatan negara.
Dengan sokongan pakar, urus setia dan rakan kolaborasi, inisiatif ini menjadi langkah penting dalam memperkukuh pengurusan rabies secara lebih tersusun, berasaskan bukti serta berorientasikan tindakan demi melindungi kesihatan awam negara. – The Capital Post